1 - Pendahuluan
2- Sebab diharamkan
3- Mudarat harta
4- Mudarat penghambaan
5- Merokok diharamkan di sisi
syarak
1. Pendahuluan
Segala pujian bagi Allah, selawat dan salam kepada
pesuruhNya ( Nabi Muhammad S.A.W ),ahli keluarganya, sahabat-sahabat juga
orang-orang yang mengikut jejak langkahnya.
Sesungguhnya telah muncul pokok ini yang dikenali
dengan nama " والتتن " التمباك
" والتبغ والدخان " di akhir kurun ke sepuluh hijrah. Oleh kerana
pokok ini digunakan secara meluas di kalangan orang ramai, maka ianya telah
memaksa alim ulama di zaman itu membahas dan mengkajinya untuk memberi
penjelasan hukum dari segi syarak.
Memandangkan masalah ini adalah masalah baru,
tidak ada hukum yang dikeluarkan oleh Fuqaha, Mujtahidin yang lalu serta
ulama-ulama selepas mereka dari kalangan Ahli Takhrij dan Tarjih dalam mazhab
berkenaan perkara ini. Mereka juga tidak mendapat gambaran yang jelas tentang
hakikat dan implikasinya berdasarkan kajian ilmiah yang betul, maka
berlakulah perbezaan pendapat yang ketara di kalangan ulama pada waktu
itu. Ada di kalangan mereka yang memfatwakan haram, ada yang memfatwakan makruh,
ada yang mengatakannya harus dan ada yang mengambil sikap berdiam diri tanpa
membincangkannya. Fenomena ini juga berlaku kepada ke empat-empat mazhab ahli
sunnah waljamaah.
Justeru itu kita tidak boleh menisbahkan kepada
mana-mana mazhab, pendapat atau fatwa yang nengatakan merokok itu harus atau
haram atau makruh.
Nyata kepada saya bahawasanya perbezaan pendapat di
kalangan ulama mazhab-mazhab, ketika permulaan
munculnya rokok, penggunaannya begitu meluas dan berlaku
perbezaan di antara mereka dalam mengeluarkan hukum tentangnya, bukanlah
perbezaan dari segi dalil-dalil, bahkan perbezaan berlaku dalam menentukan `ilat
(مناط ) yang ada pada
rokok.
Ada di kalangan mereka yang mendakwa terdapat beberapa
manafaat atau faedah pada merokok. Ada juga ulamak yang mendakwa terdapat
mudarat dan manafaat yang sama berat pada rokok. Terdapat juga ulamak
yang tidak menyabitkan apa-apa faedah pada rokok tetapi menafikan
terdapat mudarat pada rokok. Ini bermakna sekiranya mereka dapat memastikan ada
mudarat pada perkara ini, pasti mereka mengharamkannya tanpa wujud
perdebatan.
Di sini kami berpendapat untuk
menyabitkan ada dan tidak ada implikasi buruk terhadap tubuh badan pada rokok
dan benda-benda lain yang ada unsur ketagihan, ianya bukan bidang kuasa ahli
feqah, bahkan ianya adalah bidang kuasa ahli perubatan dan penganalisis.
Merekalah sepatutnya yang dirujuk dalam masalah ini kerana mereka adalah ahli
sains dan banyak pengalaman. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :” Tanyalah orang
yang tahu tentang perkara itu”, “ Tidak boleh menceritakan kepada engkau seperti
mana orang yang alim”.
Secara umumnya para doktor dan penganalisis sebulat
suara menjelaskan implikasi buruk merokok ke atas tubuh badan secara umum, dan
secara khususnya terhadap paru-paru dan organ pernafasan, seterusnya boleh
membawa kepada kanser paru-paru. Inilah faktor yang meyebabkan
masyarakat dunia sejak tahun-tahun kebelakangan ini menyeru agar
berhati-hati terhadap aktiviti merokok.
Sepatutnya di zaman kita ini para ulamak sepakat
membuat keputusan ini. Sesungguhnya keputusan ahli feqah dalam masalah ini
diasaskan atas pandangan pakar perubatan. Bilamana pakar perubatan menjelaskan
bahawa gejala ini (merokok) meninggalkan implikasi buruk kepada kesihatan
manusia, sepatutnya ahli feqah menetapkan hukum haram kepada aktiviti merokok,
kerana setiap perkara yang menyebabkan kesan buruk kepada
kesihatan manusia mesti diharamkan di sisi
syarak.
2. Sebab diharamkan:
Ada sesetengah orang mengatakan “ Bagaimanakah mereka
boleh mengharamkan pokok ini tanpa nas ? “
Jawapannya :
Sesungguhnya tidak mesti penggubal undang-undang
menaskan setiap satu perkara-perkara yang diharamkan, memadailah mereka
menetapkan garis panduan atau kaedah-kaedah yang akan termasuk di bawahnya
pecahan-pecahan dan unit-unit. Kaedah-kaedah ini boleh membataskannya. Adapun
perkara-perkara yang khusus maka tidak mungkin
membataskannya.
Memadai bagi penggubal undang-undang mengharamkan
sesuatu yang jelek dan memudaratkan, supaya termasuk di bawahnya kebanyakan
makanan dan minuman lain yang juga mempunyai unsur jelek dan memudaratkan.
Kerana inilah ulamak sepakat mengharamkan pokok Hasyisyah ( pokok yang
menyebabkan ketagih ) dan pokok lain yang mempunyai unsur ketagihan, walaupun
tidak ada nas tertentu yang mengharamkannya secara khusus.
Imam Abu Muhammad Bin Hazam Azzahiri, kita sedia
maklumi dia seorang yang berpegang dengan zahir nas, walaupun begitu beliau
tetap mengharamkan sesuatu yang memudaratkan dengan memakannya, kerana berpegang
dengan nas-nas yang umum. Beliau mengatakan : “Setiap sesuatu yang boleh
memudaratkan maka ianya adalah haram, berdasarkan sabda nabi S.A.W yang bererti
: “ Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan terhadap sesuatu, maka sesiapa
memudaratkan dirinya sendiri atau orang lain maka dia telah tidak melakukan
ihsan dan sesiapa yang tidak melakukan ihsan, maka dia telah menyalahi
ketetapan, iaitu ketetapan Allah mesti melakukan ihsan terhadap
segala sesuatu.”
Boleh juga menjadikan dalil untuk hukum ini, sabda
Nabi S.A.W yang bererti : “ tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh
dimudaratkan” , begitu juga firman Allah yang bermaksud : “ Janganlah kamu
membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat mengasihi
kamu”.
Antara ungkapan feqah yang paling baik berhubung
pengharaman memakan makanan yang boleh memudaratkan ialah ungkapan Iam Nawawi
didalam kitab Raudah , beliau berkata ; "Setiap sesuatu yang
memudaratkan apabila dimakan seperti kaca, batu, racun maka hukum
memakannya adalah haram. Setiap sesuatu yang suci yang tidak menimbulkan mudarat
memakannya maka hukum memakannya adalah halal kecuali sesuatu yang dianggap
jelek seperti mani dan hingus, maka memakannya adalah haram mengikut pendapat
yang betul. Harus meminum ubat yang mengandungi sedikit racun yang tidak
membahayakan, jika diperlukan".
3. Mudarat Harta
Manusia tidak harus membelanjakan hartanya kepada
perkara yang tidak berfaedah sama ada di dunia atau akhirat, kerana mereka
sebenarnya pemegang amanah ke atas harta yang ditinggalkan kepada mereka.
Sebenarnya kesihatan dan harta adalah dua amanah Allah, maka tidak harus manusia
memudaratkannya atau mensia-siakannya. Kerana hakikat inilah, maka
Nabi S.A.W melarang seseorang mensia-siakan hartanya.
Perokok membeli kemudaratan dirinya dengan kesucian
hartanya, ini tidak harus di sisi syarak. Firman Allah yang bermaksud : “
Janganlah kamu membazir,sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang membazir".
Tidak ragu-ragu lagi bahawa menghabiskan harta dengan
merokok adalah perbuatan mensia-siakan harta. Maka bagaimana pula jika di
samping merosakkan harta (kerosakan yang diyakini berlaku atau tidak yakin )
wujud juga perbuatan merosakkan badan ?
4. Mudarat
Penghambaan
Di sana ada kemudaratan lain yang biasanya tidak
disedari oleh penulis-penulis mengenainya, iaitulah kejiwaan, saya maksudkan
dengan mudarat jiwa ialah kebiasaan merokok dan seumpamanya akan memperhambakan
jiwa manusia dan seterusnya kebiasaan yang hina ini akan menjadikan jiwa manusia
sebagai mangsanya. Manusia tidak mampu meloloskan diri daripadanya dengan mudah
apabila mereka ingin melakukannya pada sesuatu ketika kerana sebab-sebab
tertentu, seperti kemunculan bahaya pada badannya, menampakkan kesan yang
negatif dalam pendidikan anaknya ataupun kerana keperluannya yang mendesak untuk
membelanjakan harta pada benda lain yang lebih berguna dan sepatutnya ataupun
untuk sebab-sebab lain.
Melihatkan kepada mudarat penghambaan jiwa ini , kami
mendapati sesetengah perokok sanggup menganiayai makan minum anak-anaknya dan
perbelanjaan asas keluarganya, kerana ingin memuaskan tabiatnya ini, kerana dia
sememangnya sudah tidak boleh dianggap orang yang mampu membebaskan diri
daripadanya. Di suatu hari nanti apabila perokok telah menjadi lemah seumpama
ini, kehidupannya pasti goyah, pertimbangannya jadi tidak seimbang, keadaannya
hina, pemikirannya bercelaru dan emosinya mudah tertekan kerana satu-satu sebab
atau tanpa sebarang sebab. Tidak ragu-ragu lagi kemudaratan seumpama ini patut
diambil kira dalam mengeluarkan hukum merokok.
5. Merokok diharamkan di sisi syarak
Di zaman kita ini tidak ada pendapat yang boleh
menghalalkan merokok dalam apa bentuk sekalipun, selepas Persatuan Sains
Perubatan membicarakan panjang lebar implikasi buruk merokok serta kesannya yang
negatif, golongan elit dan orang awam juga mengetahui keburukan
merokok dan dikuatkan lagi oleh perangkaan.
Apabila telah gugur pendapat bahawa merokok harus
secara mutlak, maka yang ada hanyalah pendapat makruh dan haram. Sesungguhnya
telah jelas kepada kita melalui perbincangan lalu bahawa hujjah
haram merokok lebih kemas dan mantap. Inilah pendapat kita . Perbincangan lalu
juga dijadikan garis panduan bagi memastikan terdapat mudarat pada tubuh badan,
mudarat pada harta, dan mudarat pada jiwa dengan sebab merokok secara
berterusan. Sesungguhnya setiap perkara yang boleh menjejaskan kesihatan manusia
ianya mesti diharamkan di sisi syarak.
Allah Taala berfirman dan maksudnya : “ Dan janganlah
kamu campakkan diri-diri kamu ke kancah kebinasaan”, “ Dan janganlah kamu
membunuh diri-diri kamu, sesungguhnya Allah amat mengasihi kamu”
, “ Dan janganlah kamu membazir, sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang membazir”.
“ Dan janganlah kamu melakukan pembaziran,sesungguhnya
orang-orang yang membazir adalah saudara syaitan.” Di sana ada
kemudaratan tubuh badan dan di sana juga ada kemudaratan harta benda, maka
menggunakan sesuatu yang memudaratkan manusia adalah diharamkan, berdasarkan
firman Allah yang bermaksud : “ Janganlah kamu membunuh diri-diri
kamu" . Kerana fakta inilah wajib kita berfatwa, merokok adalah haram di zaman
kita ini.
Hakikat yang tidak boleh diragukan lagi bahawa
kalangan doktor sepakat mengatakan terdapat kesan yang sangat buruk dalam
aktiviti merokok. Benar kesan buruknya tidak segera tapi
beransur-ansur. Namun kesan mudarat segera dan beransur-ansur
adalah sama saja dari segi haramnya. Racun yang memberi kesan lambat atau segera
sama saja, kedua-duanya diharamkan.
Manusia tidak harus memudaratkan atau membunuh dirinya
dan mereka juga tidak boleh memudaratkan orang lain. Berkenaaan ini Nabi S.A.W
bersabda : “ Tidak memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan “ , iaitu engkau
tidak boleh memudaratkan diri engkau dan orang lain.
Merokok meninggalkan implikasi yang sangat buruk
kepada diri manusia mengikut kesepakatan doktor sedunia, lantaran ini
kerajaan-kerajaan sedunia mewajibkan syarikat yang mengiklan rokok menyebut “
Merokok Membahayakan Kesihatan”, selepas mereka yakin merokok memudaratkan semua
orang. Justeru itu golongan fuqaha tidak boleh berselisih pendapat
tentang mengharamkan merokok.
Lima unsur asasi yang disebut oleh ahli-ahli usul dan
orang yang mendalam dalam bidang agama, serta mewajibkan supaya
bersungguh-sungguh dijaga dan tidak boleh dimudaratkannya, ialah Agama,
Jiwa, Akal, Keturunan dan Harta Benda. Maka kesan merokok terhadap agama
: ada di kalangan orang ramai tidak dapat berpuasa di bulan Ramadhan lantaran
tidak dapat menahan diri dari merokok.
Keturunan turut menerima kesan buruk dari merokok,
samada perokok itu salah seorang dari ibu, bapa atau kedua-duanya. Bahkan janin
akan menerima kesan buruk ekoran ibu yang merokok. Ini
bermakna perokok tidak memudaratkan dirinya sahaja bahkan ianya
turut memudaratkan orang lain. Di sini ada yang dinamakan merokok secara
terpaksa ataupun merokok dengan paksaan. Ini boleh berlaku melalui orang lain
yang merokok tanpa rasa malu, sedangkan dia tidak merokok, dia
hanya menyedut asap rokok secara tidak langsung ketika dia duduk berhampiran
perokok atau berada di persekitaran yang ada aktiviti
merokok.
Maka anda wahai perokok, secara tidak langsung anda
telah memudaratkan diri anda sendiri dan juga orang lain. Maka kerana
kemudaratan ini dan kemudaratan yang lain merokok mesti diharamkan dan ulamak
mesti sepakat mengharamkannya. Sesungguhnya ada sesetengah ulamak meletakkan
sebagai paksi sebilangan besar hukum merokok di atas kemampuan kebendaan sahaja.
Maka haram merokok bila mana perokok berada dalam kesempitan duit untuk merokok
dan makruh bagi orang yang mampu membeli rokok. Ini adalah pendapat yang tidak
betul dan tidak mantap.
Para ulamak dan doktor sedunia sepakat, menjadikan
faktor mudarat tubuh badan dan mudarat jiwa sebagai satu faktor besar dalam
menentukan hukum merokok, di samping mudarat harta. Sesungguhnya orang kaya
tidak berhak membelanjakan dan menghabiskan hartanya dengan sewenang-wenangnya,
kerana hartanya itu sebenarnya milik Allah dan
masyarakat.
Orang Islam yang rasional sepatutnya menjauhkan diri
dari penyakit yang merosakkan ini, kerana rokok telah diyakini mempunyai
unsur-unsur yang jelek, ianya tidak tergolong dalam makanan yang berkualiti
lantaran tiada faedah samada untuk dunia dan
akhirat.
Nasihat saya kepada pemuda-pemuda secara
khusus, supaya mereka mengelak diri dari terjebak dengan penyakit yang boleh
merosakkan kesihatan mereka, melemahkan kekuatan dan kesuburan mereka. Mereka
hendaklah tidak menjadi mangsa kekeliruan yang dibayangkan kepada mereka, bahawa
merokok adalah tanda kelelakian dan tanda peribadi merdeka.
Mana-mana individu dari kalangan pemuda yang terlibat
dengan aktiviti merokok, mampu melepaskan diri daripadanya dan
mengalahkannya (kerana beliau masih diperingkat awal ) sebelum
penyakit ini bertapak kukuh dan mengalahkannya jika tidak nanti sukar baginya
melepaskan diri dari cengkamannya kecuali orang yang diberi rahmat oleh
Allah.
Menjadi tanggungjawab media massa memfokuskan kempen
yang teratur dengan berbagai cara untuk menjelaskan keburukan
merokok. Tanggungjawab penyusun skrip, pengeluar dan penerbit filem, teater dan
drama bersiri pula ialah mengekang propoganda ke arah merokok dengan mempamerkan
rokok dalam gambaran yang sesuai dan tidak sesuai pada setiap
keadaan.
Tanggungjawab kerajaan pula ialah berganding bahu
membasmi penyakit ini dan membebaskan rakyat dari bahananya walaupun kerajaan
mengalami kerugian cukai berjuta-juta, namun kesihatan rakyat dan
anak bangsa dari segi jasmani dan spiritual lebih penting dan berharga dari wang
ringgit. Sebenarnya kerajaan menanggung kerugian dari segi kebendaan ketika mana
kerajaan mengizinkan merokok. Ini adalah kerana kos yang dikeluarkan oleh
kerajaan untuk menjaga pesakit yang menghidap pelbagai penyakit dan ancaman
ekoran aktiviti merokok berlipat kali ganda melebihi hasil kutipan cukai yang
dikenakan ke atas tembakau, kalau dibandingkan kerugian ekoran kekurangan
produktiviti negara dengan sebab ramai perokok tidak dapat menjalankan tugas
lantaran menderita pelbagai penyakit.
Kami memohon ke hadrat Allah Taala agar menyinari
hati-hati kami memberi kefahaman yang mendalam kepada kami tentang agama kami,
mengajar apa yang boleh memberi faedah kepada kami, memberi faedah dengan
sesuatu yang kami telah tahu, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi hampir
dengan hamba-hambaNya. Selamat dan salam ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W,
ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
WALLAHU A`LAM
sumber http://www.qaradawi.net/